MEMANG tidak habis-habis isu Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU), lepas satu timbul pula desakan mahasiswa yang mahu akta itu dimansuhkan sepenuhnya dengan alasan sudah tidak relevan pada alaf baru.
Mereka mendakwa pindaan yang dicadangkan kerajaan itu hanya ‘gimik’ pihak tertentu menawan hati mahasiswa, namun ia masih mengekang pemikiran dan hak mereka bersuara dan berpolitik.
Justeru, mereka mahu AUKU dimansuhkan kerana ia lebih praktikal bagi melonjakkan kemampuan dan sensitiviti sistem pendidikan moden.
Pindaan pula dianggap ‘hadiah’ kepada warga institusi pengajian tinggi kerana keprihatinan itu bakal memberi peluang kepada mereka meneroka alam pendidikan berlandaskan peraturan dan kawalan tertentu.
Sama ada pindaan atau pemansuhan, hakikatnya, AUKU terutama seksyen 15C ( 3) memang mencetuskan provokasi tersendiri dalam kehidupan warga kampus kerana ia melarang mahasiswa menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik atau kesatuan sekerja.
Persoalannya, sama ada pindaan atau permansuhan, adakah AUKU masih relevan dalam era pendidikan moden hari ini?
Timbalan Dekan (Akademik dan Pembangunan Pelajar) Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Ahmad Zainudin Husin berkata, mahasiswa perlu melihat secara waras mengenai AUKU tanpa mengaitkan dengan sentimen tertentu.
Beliau berkata, penting bagi mereka memahami bahawa akta itu bukan hanya menekankan seksyen tertentu semata-mata, malah mencakupi aspek luas yang menyentuh pelbagai peranan serta fungsi.
“Desakan mahasiswa supaya AUKU dimansuhkan tidak akan menyelesaikan masalah.
Ia tidak boleh diselesaikan hanya dengan ‘berteriak’ atau berdemonstrasi.
“Ia lebih kompleks. Bukan mudah menghapuskan akta yang sudah sah melalui proses perundangan, memperoleh kebenaran rasmi serta termaktub dalam undang-undang negara. Ia tidak boleh dipinda atau dimansuhkan sesuka hati.
“Pihak yang lantang bersuara perlu memahami situasi ini. Ia tidak boleh diubah sekelip mata kerana ada proses panjang dan rumit perlu dilalui,” katanya.
AUKU memang tidak pernah sunyi dengan polemik dan kontroversi sejak kewujudannya pada 1971.
Sudah mengalami beberapa pindaan, akta itu bagi segelintir pihak menjadi batu penghalang dan mimpi ngeri jika mahasiswa ingin bebas bersuara dan berpolitik.
Kemelut demi kemelut menjadikan AUKU isu panas dan sensitif bagi mahasiswa hingga menyebabkan akta ini diberi janji untuk dipinda lagi.
Bagaimanapun, pindaan itu tidak menarik hati segelintir mahasiswa, sebaliknya mahukan kebebasan penuh iaitu dimansuhkan.
Mereka menuntut universiti diberi kuasa autonomi untuk menggubal undang-undang sendiri selari undang-undang perlembagaan tanpa campur tangan birokrasi pihak luar.
Beliau yang juga pensyarah Jabatan Sejarah UPSI berkata, tindakan itu akan memakan diri sendiri kerana jika universiti menggubal undang undang baru, mereka juga memerlukan rujukan akta tertentu sebagai panduan.
“Dalam konteks ini, universiti tidak boleh sesuka hati mewujudkan undang-undang kerana selama ini mereka tertakluk pada peraturan sedia ada.
“Biarpun diberi kuasa autonomi, saya percaya mewujudkan undang-undang baru dengan kepemimpinan sendiri tidak mudah. Ini perkara besar yang membabitkan prosedur yang panjang.
“Ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Jadi di manakah relevannya permintaan itu?” soalnya.
Beliau berpendapat, jalan terbaik untuk mengembalikan semula keharmonian ialah dengan mengkaji akta berkenaan lebih mendalam bersesuaian kehendak semasa, mahasiswa juga global.
“Ini lebih baik daripada semua pihak ‘bermusuhan’. Dalam menangani AUKU, kepentingan semua perlu diambil kira bagi menjamin hak dan meneruskan kelangsungan sistem pendidikan negara dengan harmoni.
“Janganlah kerana mengikut hati yang panas atau terpengaruh desakan pihak lain, sistem pendidikan tinggi kita korbankan. Ini tidak betul dan boleh menjejaskan masa depan generasi mahasiswa lain,” katanya.
Malah, untuk bertindak lebih adil, beliau menyarankan agar diwujudkan suruhanjaya untuk mengkaji aspek pelengkap AUKU.
Melalui suruhanjaya ini, katanya, semua pihak diberi akses bebas untuk menyuarakan pandangan sebelum keputusan dibuat.
“Cara ini lebih praktikal kerana kepentingan semua pihak diambil kira dan tidak membelakangkan hak sesiapa pun. Beri kebebasan mereka untuk melahirkan pandangan masing-masing selain disertakan fakta kukuh.
“Kata putus serta persetujuan diambil itu mampu menjernihkan kembali ketegangan sedia ada. Ini menunjukkan mahasiswa golongan intelektual dan bermaruah.
“Demonstrasi jalanan atau tindakan membuta tuli hanya akan meletakkan mereka di tahap paling rendah. Saya nasihatkan, jangan terlalu terburu-buru mengikut kata hati, kelak menyesal,” katanya.
Mantan Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Ahmad Syukri Ab Razab pula tetap menegaskan, pemansuhan AUKU perlu dilaksanakan kerana mengganggu pembentukan jati diri sejati mahasiswa untuk mengikuti modul pendidikan sebenar.
Menurutnya, tiada sesiapa berhak menghakimi tindakan mahasiswa yang mahukan AUKU dimansuhkan kerana ia kehendak naluri sendiri yang mahukan keadilan telus tanpa kerenah birokrasi.
“Malangnya, apabila mahasiswa bersuara mengenai AUKU, semua pihak pasti mengaitkannya sebagai propaganda pihak tertentu. Tidakkah mereka lihat itu naluri mahasiswa yang sudah bosan dilayan bagaikan budak kecil dan sering diperkotak-katikkan?
“Cukup dan usah mengaitkan mahasiswa dengan mengatakan mereka diperkudakan pihak tertentu. Apa dilakukan ini adalah kehendak sendiri kerana sudah lama tertindas dengan peraturan berat sebelah.
“Sebagai generasi muda, mereka inginkan pembaharuan lebih praktikal.
Menafikan pemansuhan itu juga, katanya, menyebabkan mahasiswa bertindak lebih ‘kurang ajar’, sebaliknya apabila universiti diberi kuasa autonomi menggubalkan undang-undang sendiri, kehidupan mahasiswa lebih proaktif.
“Apabila mahasiswa merasakan apa dilakukan universiti salah, mereka ada hak bersuara dan universiti pasti mengambil tindakan segera bagi mengatasinya tanpa perlu merujuk atau mengikut telunjuk pihak tertentu.
“Tidak perlu lagi kami menunggu bagai buah tidak gugur apakah keputusannya.
Justeru, tidak timbul isu mahasiswa bertindak lebih kuah dari sudu kerana semua peraturan selari dengan undang-undang negara melainkan dilaksanakan sepenuhnya oleh universiti.
“Kami tidak perlu berdepan kerenah birokrasi peringkat tertinggi kerana universiti sendiri boleh menentukan tindakan bakal diambil. Itu lebih telus, adil dan menyenangkan hati kerana universiti pasti kenal hati budi mahasiswanya sendiri,” katanya mengakui AUKU menjadikan mahasiswa naif merancang pembangunan jati diri.
“Bayangkan sejak mula menjejakkan kaki di universiti sudah disogokkan dengan ‘kekebalan’ AUKU. Mereka tidak bebas melahirkan pendapat, tidak berjiwa kental serta perlu mengikut ‘telunjuk’.
“Sedangkan dunia memerlukan pelapis yang berfikiran kritis, berani melahirkan pandangan serta menyahut cabaran. AUKU sudah tidak relevan dipraktikkan kerana senario mahasiswa kini sudah berubah,” katanya.
Akuinya, biarpun daripada 1.2 juta mahasiswa hanya tujuh peratus lantang bersuara, tidak bermakna peratus selebihnya tidak peka.
“Yang membezakan ialah tujuh peratus itu aktif dalam memperjuangkan hak mahasiswa manakala selebihnya tunggu dan lihat sebelum membuat keputusan.
“Paling penting, mereka nampak dan tahu apa perlu dilakukan bagi memastikan tindakan atau hak tidak dicabuli, sekali gus membantu merangka pemikiran luar kotak. Inilah generasi mahasiswa alaf baru yang sebenarnya perlu dilahirkan.
“Bukan penakut atau mudah dipersendakan sesuka hati,” katanya.
0 comments:
Post a Comment