• Organizations | Community | Activities

    Ekspresi Dunia Lensa Dan Pengimejan


    PERTENGAHAN Februari lalu, Pusat Konvensyen Pacifio di Yokohama, Jepun menjadi tumpuan para peminat tegar bidang fotografi dari seluruh dunia.

    Ia bersempena pameran perdana fotografi antarabangsa, Ekspo Kamera dan Pengimejan Foto 2012 (CP+ 2012) bertemakan Kuasa Fotografi Menyatukan Dunia.

    Memasuki tahun ketiga penganjuran, platform pameran tersebut berjaya menghimpunkan lebih 90 syarikat teknologi pengimejan global dengan 807 lot pameran disediakan.

    Sepanjang empat hari pameran, sebanyak 45 rangkaian produk imej dan fotografi dilancarkan termasuk kamera lensa refleks tunggal digital (DSLR), kamera kompak, pelbagai lensa kamera dan banyak lagi.

    Canon, antara syarikat teknologi gergasi Jepun yang tidak ketinggalan mempamerkan keunggulan rangkaian produk kejuruteraan pengimejan terbaru mereka kepada para pengunjung.

    Merasai sendiri keunikan dunia fotografi mewah dan berteknologi tinggi, penulis bersama beberapa wartawan dan jurugambar Malaysia telah dibawa oleh pihak Canon Singapura membuat liputan media bagi acara yang telah menerima lebih 65,000 pengunjung itu.

    Selain didedahkan dengan teknologi pengimejan Canon yang sofistikated, kami turut diberi peluang mencuba dan mengenali secara lebih dekat produk-produk terkini yang ditampilkan ketika pameran.

    Secara asasnya, ruang pameran Canon dibahagikan kepada 16 bahagian bertema termasuk dua pentas utama yang dihias cukup elegan untuk tujuan pelancaran produk-produk baru dan persembahan teknologi EOS Profesional.

    Pengembaraan ke alam teknologi fotografi Canon dimulakan dengan pengenalan produk terbaru kamera DSLR EOS-1D X yang mana kehadirannya memang telah lama dinantikan oleh para jurugambar profesional dunia.

    Di platform tersebut, para pengunjung berpeluang merasai pengalaman merakam foto menggunakan produk berprestasi tinggi yang direvolusikan daripada teknologi EOS-1Ds Mark III dan EOS-1D Mark IV itu.

    Bersebelahan pentas rakaman, dipaparkan pula pilihan foto-foto kreatif dan eksklusif yang dirakamkan menggunakan EOS-1D X untuk tatapan pengunjung.

    Sebelum bergerak ke ruangan produk kamera kompak dan video kamera, pelawat disajikan dengan pameran kepelbagaian lensa super telefoto termasuk jenis EF400mm f/2.8L IS II USM dan rangkaian binokular penstabil imej daripada Canon.

    Apa yang memberi kepuasan dan keterujaan kepada para peminat fotografi, mereka boleh menguji sendiri setiap daripada lensa dan peralatan yang dipamerkan.

    Melengkapkan inovasinya, Canon turut menyediakan berpuluh-puluh rangkaian lensa kamera pada ruang pameran yang dikenali sebagai The Eyes of EOS.

    Kemeriahan kunjungan diteruskan lagi pada segmen kamera kompak yang mendapat sambutan cukup menggalakkan daripada para pengunjung.

    Di sini, dihimpunkan pelbagai model terbaru dan versatil kamera kompak daripada rangkaian penjenamaan IXUS dan Powershot.

    Untuk aktiviti merakam video, pengunjung turut ditawarkan dengan bahagian pameran kamera video LEGRIA dengan tawaran fungsi terbaru iaitu sambungan transmisi secara Wi-Fi.

    Di satu sudut lain pula, tersedia ruang keseronokan bidang fotografi di mana pelawat boleh merakam foto dan video menggunakan pelbagai peranti Canon sebelum menyunting, mencetak atau memuat naik pada album persendirian secara dalam talian.

    Pameran di ruang Canon berakhir dengan paparan galeri yang dinamakan sebagai New Cosmo of Photography.

    Menerusi ruang itu, Canon memaparkan tentang inisiatif pihaknya dalam menyokong para jurugambar yang ingin terlibat dalam projek penerokaan peluang dan minat dalam bidang fotografi.

    Bukan sahaja pameran, pengunjung juga berpeluang menyertai sesi woksyop penerangan produk-produk pengimejan Canon secara lebih mendalam daripada segi teknologi dan fungsi.

    Sebagai melengkapkan lawatan pihak media, kami turut dibawa mengunjungi ibu pejabat Canon Inc. di daerah Shimomaruko, Tokyo.

    Selain mengunjungi Galeri Canon yang menempatkan pelbagai produk teknologi seperti kamera, lensa, mesin pencetak, pengimbas dan kelengkapan perubatan, kami turut diberi taklimat oleh pihak pengurusan operasi di sana.

    Menurut Pegawai Operasi Produk Komunikasi Imej, Masaya Maeda, pihak Canon Inc. sentiasa mengatur strategi mempertingkatkan implementasi teknologi di peringkat maksimum.

    ''Bagi tujuan itu, pembangunan industri pengimejan dan fotografi, Canon Inc. lebih memberi tumpuan terhadap elemen reka bentuk, teknologi dan kualiti.

    ''Dengan segala usaha yang diletakkan ini, Canon telah berjaya mencatat peningkatan pasaran di Asia daripada 28 peratus pada tahun 2010 kepada 31 peratus pada 2011,'' jelasnya.

    -NAZRUL AZIM SHARUDDIN-


    0 comments:

    Followers

     

    Meet The Author

    Soon

    Visitor