• Organizations | Community | Activities

    Kapal angkasa yang mati di Marikh telah dikesan


    Tiga platform tempat pendaratan yang dilakukan oleh Mars Exploration Rover Spirit pada Januari 2004 terletak pada bahagian bawah kiri gambar ini. Tempat pendaratan yang cerah dengan warna kemerahan mungkin disebabkan oleh pengumpulan habuk di Marikh. Imej dari Kamera Pengimejan Eksperimen Sains Beresolusi Tinggi (HiRISE) pada MRO yang diambil pada 29 Januari 2012, merupakan imej pertama orbit yang menunjukkan platform pendaratan dalam keadaan berwarna. Kredit : :NASA/JPL-Caltech/Uni.Of Arizona.

    Prob angkasa milik NASA yang mengorbit planet Marikh telah menangkap gambar-gambar terbaru dua kapal angkasa yang mati dan membeku di tempat perkuburan mereka di planet Marikh. Gambar-gambar itu diambil oleh Mars Reconnaissance Orbiter (MRO) yang berkuasa tinggi yang telah mengelilingi planet itu sejak tahun 2006.

    Kapal angkasa itu terlebih dahulu telah menjumpai Phoenix Mars Lander milik NASA di bahagian artik planet Marikh pada 26 Januari 2012 lalu. Ia adalah dalam satu foto berwarna yang mendedahkan pendarat itu dan persekitarannya yang dingin ketika ia muncul berikutan musim sejuk kedua bagi Phoenix di planet itu.

    Di dalam gambar yang berasingan, MRO juga mengesan tiga platform tempat pendaratan yang dilakukan oleh Mars Rover Spirit di permukaan Planet Merah pada tahun 2004. Platform itu telah menggunakan paracut-paracut dan beg udara untuk melantun ke hentian di kawah Gusev supaya rover Spirit boleh memulakan misinya.

    Spirit telah memandu platform pendarat pada Januari 2004 dan menghabiskan sebahagian besar hayatnya selama enam tahun bekerja dalam pelbagai julat ketinggian kira-kira 3.2 kilometer ke arah timur, kata pegawai NASA di dalam satu kenyataan. Rover itu telah pergi dalam keadaan senyap pada tahun 2010 dan NASA secara rasmi telah mengisytiharkan ia mati pada tahun lepas.

    Di dalam imej MRO yang diambil pada 29 Januari lalu, platform pendarat milik Spirit muncul sebagai satu ciri yang cerah di bahagian bawah kiri di barat daya kawah Bonneville. Kamera Pengimejan Eksperimen Sains Beresolusi Tinggi (HiRISE) pada MRO telah merekodkan imej-imej berwarna bagi rover Spirit itu sendiri sebelum ini, tetapi semua gambar sebelumnya untuk platform pendarat itu adalah dalam warna hitam dan putih, menurut kenyataan rasmi NASA.

    Berhampiran sudut bawah kiri imej ini ialah pandangan tiga platform tempat pendaratan Mars Exploration Rover Spirit (dalam bulatan) yang dibuat pada Januari 2004. Kredit: NASA/JPL-Caltech/Univ. of Arizona.

    Kematian rover di Marikh

    Spirit dan kembar rover Opportunity pada asalnya direka untuk misi tiga bulan bagi mencari tanda-tanda aktiviti air di Marikh pada masa lalu. Walaubagaimanapun, kedua-dua rover itu hidup lebih lama dari hayat mereka dan kedua-dua misi itu telah menghantar bukti yang Planet Merah suatu ketika dulu pernah menjadi tempat yang lebih lembab dan panas.

    Spirit berhenti menjelajah apabila ia terperangkap di dalam pasir pada Mei 2009. Saintis misi itu kemudiannya menukarkan rover itu ke satu balaicerap pegun, dan Spirit meneruskan penghantaran data dari tempat ia terperangkap. Tetapi 10 bulan kemudian, rover itu terus senyap selepas tidak dapat memerangkap cahaya Matahari yang cukup untuk panel solarnya sepanjang musim sejuk di Marikh.

    Walaubagaimanapun, Opportunity kekal hidup dan baik di planet Marikh, dan pada bulan lepas ia meraikan ulangtahun luarbiasa yang ke lapan di permukaan Planet Merah. Selepas satu pengembaraan tiga tahun, rover yang berani ini tiba di Kawah Endeavour yang seluas 22 kilometer pada Ogos 2011. Rover itu baru-baru ini telah mendedahkan kepada para penyelidik mengenai bukti terbaik kewujudan cecair pada planet Marikh purba.

    Kematian Phoenix

    Phoenix Mars Lander telah mendarat pada bulan Mei 2008 di dalam misi untuk mencari dan menggali kewujudan air di dataran Vastitas Borealis pada bahagian artik planet Marikh. Semasa misinya yang hampir enam bulan, pendarat yang bernilai 475 juta US dolar itu telah mengesahkan kehadiran air ais di subpermukaan dan membuat gambaran yang berharga mengenai debu di planet Marikh.

    Misi Phoenix berakhir pada November 2008 apabila kapal angkasa itu tidak lagi menerima tenaga yang mencukupi disebabkan oleh kombinasi kekurangan cahaya matahari, debu pengabur cahaya dan suhu musim sejuk yang melampau.

    Mars Reconnaissance Orbiter sendiri terus mempunyai kerjaya yang berkembang di orbit mengelilingi Planet Merah. Prob yang berkuasa itu mula mengelilingi Marikh pada 10 Mac 2006 dan pada ketika ini ia berada di dalam fasa lanjutan misinya.

    Pengorbit itu terus menyediakan sumbangan yang bernilai ke dalam persekitaran purba planet itu dan bagaimana proses-proses seperti angin, hentaman meteorit dan musim sejuk terus menjejaskan permukaan Marikh hari ini, menurut kenyataan rasmi NASA. MRO telah menghantar lebih banyak data ke Bumi lebih daripada semua misi ke planet lain sekiranya digabungkan.

    -Rahayati Binti Ali-

    0 comments:

    Followers

     

    Meet The Author

    Soon

    Visitor