• Organizations | Community | Activities

    Polis Tangani Perhimpunan Secara Profesional



    KUALA LUMPUR:
    Polis berjaya menjalankan tugas secara profesional dalam menangani perhimpunan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disokong pembangkang yang bertukar menjadi luar kawalan di sekitar Dataran Merdeka di sini, semalam.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata beliau berasa kagum dan bangga dengan pasukan polis yang tidak mudah melatah dengan provokasi yang dilakukan kira-kira 20,000 peserta perhimpunan itu.
    "Saya sedih dengan apa yang berlaku, penganjur menjanjikan perhimpunan aman sebaliknya bertukar menjadi tidak terkawal walaupun kerajaan sedaya upaya memberi kebenaran untuk rakyat berkumpul secara aman di tempat yang disyorkan.
    "Mereka masih berdegil ingin mengadakan di Dataran Merdeka," katanya kepada pemberita di sini.

    Beliau mengulas kejayaan polis menghalang percubaan peserta perhimpunan haram itu menceroboh Dataran Merdeka dengan merempuh penghalang dan kawat berduri dipasang selepas Mahkamah Majistet mengisytiharkan dataran itu sebagai kawasan larangan mulai Jumaat hingga 1 Mei.

    Hishammuddin kesal dengan pihak penganjur dan peserta yang sanggup memperjudikan keselamatan umum demi kepentingan minoriti seperti mereka.

    Katanya, peserta perhimpunan itu perlu 'membayar balik setimpal' apa yang mereka lakukan iaitu menggadaikan keselamatan majoriti orang awam demi menyuarakan hak asasi mereka.
    "Saya sedih dengan usaha transformasi kerajaan yang cuba kita bawa, seperti menghapuskan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) dan mewujudkan Akta Perhimpunan Aman, tetapi dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan mengambil kesempatan mengajak rakyat berdemonstrasi dan mengancam keselamatan awam.

    "Perkara mengenai orang ramai perlu lihat secara teliti, apa yang cuba penganjur katakan perhimpunan ini adalah aman tetapi tidak aman," katanya.

    Hishammuddin berkata, bukan perkara mudah bagi kerajaan untuk mencapai keseimbangan antara hak asasi manusia dengan menjaga keamanan negara.

    Beliau berkata, perhimpunan ini tidak menjejaskan keselamatan dan kepentingan awam di negara ini dan yakin dengan kemampuan polis menjaga keselamatan awam.

    Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengucapkan syabas kepada semua petugas yang menjaga keamanan dalam perhimpunan itu dengan penuh tegas, adil dan berhemah.

    "Saya berharap petugas yang dicederakan oleh perusuh supaya segera sembuh dan mendapat rehat yang secukupnya sebelum kembali bertugas seperti biasa," katanya dalam kenyataan, di sini.

    Beliau berbangga dengan keberanian yang ditunjukkan seluruh anggota polis pada perhimpunan itu.

    -BERNAMA-

    0 comments:

    Followers

     

    Meet The Author

    Soon

    Visitor