KUALA LUMPUR 26 April - Seorang ahli Dewan Negara daripada DAP menggemparkan sesi sidang dewan apabila secara terbuka menyatakan bantahan terhadap penganjuran perhimpunan Bersih 3.0 di Dataran Merdeka, Sabtu ini.
Ahli Dewan Negara berkenaan, Senator Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim (gambar) yang juga Naib Pengerusi DAP menyatakan pendirian tersebut ketika bangun berucap membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada sesi tengah hari ini.
Tegas beliau, bantahan itu berdasarkan pengalaman serta pemerhatian terhadap penganjuran beberapa perhimpunan jalanan di luar negara yang kononnya aman tetapi berakhir dengan keganasan.‘‘Walaupun saya daripada pembangkang, bukan semua pembangkang sokong Bersih.
Saya tak akan sokong Bersih. Saya dah biasa tengok, bukan sahaja di negara kita tetapi saya biasa bekerja duduk di banyak negara. Semua demonstrasi kononnya mula dengan secara orang kata aman tetapi kebanyakan di mana-mana pun kita tengok terjadi sebaliknya.
‘‘Saya secara rekod, saya bantah, tak sokong Bersih," katanya.
Sementara itu, ketika ditemui di lobi Parlimen, beliau menjelaskan bantahan itu adalah pendirian peribadinya atas dasar pengalaman sebelum ini.
‘‘Berdasarkan pengalaman saya, mana-mana demonstrasi bermula dengan niat aman dan tiada siapa mahu menimbulkan keadaan huru-hara. Tetapi dalam banyak kes, apa yang dikatakan aman ini bertukar menjadi ganas.
‘‘Saya ingin bertanya siapa yang akan bertanggungjawab kalau sesuatu berlaku? Penganjur dan pihak terlibat mungkin tidak akan berada di sana. Siapa yang akan menjaga mangsa yang terkorban dan cedera? Matlamatnya adalah untuk menyalahkan pihak berkuasa dan ini adalah tidak adil.
‘‘Saya telah memberitahu pimpinan DAP, saya membantah (Bersih) di atas prinsip peribadi dan apa parti hendak buat, itu adalah keputusan parti," tegasnya.
Beliau berkata, apa jua bantahan pasti ada cara penyelesaiannya tanpa perlu mengadakan demonstrasi di jalanan.‘‘Idea asal semua ini adalah untuk mengadakan protes tidak kira di mana ia diadakan.
Jika DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) yang merupakan pemilik kawasan (Dataran Merdeka) tidak membenarkan, apa yang boleh mereka lakukan? Mereka akan pergi juga? Ini adalah tidak bertanggungjawab.
‘‘Mungkin undang-undang itu dikatakan tidak baik tetapi ada saluran lain melalui Parlimen untuk mengubahnya. Jangan melanggar undang- undang. Penentangan saya terhadap demonstrasi seperti ini adalah kerana kita menggalakkan orang ramai untuk melanggar undang-undang sedangkan kita yang sepatutnya menjadi pembuat undang-undang.
Ada percanggahan di sini," katanya.Jelas Tunku Abdul Aziz, beliau tidak menentang sebarang bentuk perhimpunan yang telah disediakan peruntukan hak mengenainya dan selagi ia mematuhi undang-undang.
‘‘Saya ingin bertanyakan, siapa yang bertanggungjawab mengenai keselamatan di negara ini? Ia adalah polis. Apa yang perlu dibuat adalah berunding dengan polis dan sekiranya polis menasihatkan untuk menukar laluan dan tempat berhimpun, itu adalah apa yang dilakukan kerana polis adalah pihak berkuasa keselamatan," tegas beliau.
Ketika ditanya mengenai pendirian pemimpin pembangkang lain mengenai perhimpunan Bersih 3.0, beliau berkata :
‘‘Saya tidak tahu tetapi ini adalah kepercayaan peribadi saya. Kita mungkin datang daripada mana-mana parti tetapi ia tidak bermakna kita boleh meninggalkan kesedaran kita, sesetengah perkara kita sokong tetapi ada perkara yang kita mesti menentang."
0 comments:
Post a Comment