• Organizations | Community | Activities

    Radiasi punca misi ke Phobos gagal


    Gambar menunjukkan jurutera Agensi Angkasa Lepas Russia menyiapkan kapal angkasa Phobos-Grunt sebelum misinya.

    Ketua Agensi Angkasa Russia ( Roscosmos), Vladimir Popovkin, berkata kegagalan kapal angkasa lepas tanpa pemandu Phobos-Grunt dalam misinya menuju ke Phobos, salah satu daripada bulan di planet Marikh, berkemungkinan disebabkan oleh ‘pengaruh partikel angkasa lepas yang dipenuhi radiasi.’

    “Dua unit sistem komputer di dalam Phobos –Grunt bertukar kepada mod ‘hidupkan semula’ yang menjimatkan tenaga dan ia jelas akibat radiasi,” katanya.

    Popovkin berkata kelmarin bahawa radiasi kosmik mungkin menjadi punca kegagalan kapal angkasa menuju ke Phobos, lalu terhempas ke Bumi bulan lalu dan mendakwa bahawa komponen import kualiti rendah mungkin terdedah kepada radiasi.

    Popovkin juga berkata, sebuah kapal angkasa yang dikemudi untuk dilancarkan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 30 Mac ini ditunda kerana kecacatan ditemui dalam kapal Soyuz.

    Kenyataan itu menggariskan pelbagai masalah yang menjejaskan program angkasa lepas yang dibanggakan negara itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini, termasuk kemalangan sebuah kapal bekalan untuk ke Stesen Angkasa Antarabangsa pada Ogos 2011 lalu dan bulan lalu kemalangan sebuah satelit komunikasi.

    Sejak tamatnya program kapal angkasa lepas Amerika Syarikat tahun lalu, kapal angkasa Russia hanyalah satu-satunya cara menghantar krew masuk dan keluar dari ISS. Phobos-Grunt dilancarkan ke Phobos bagi mengambil sampel tanah dan membawanya pulang. Namun ianya terkandas dalam orbit bumi sejurus dilancarkan pada 9 November tahun lalu.

    Agensi berita Russia, Ria Novosti melaporkan pada 24 November 2011 bahawa misi itu diumumkan gagal berikutan kapal angkasa terbabit tidak lagi boleh dihantar ke Marikh. Ia jatuh dari orbit pada 15 Januari lalu, dilaporkan di luar pantai Chile, namun tiada serpihan ditemui.

    Misi penghantaran itu dibangunkan oleh Roscosmos dan NPO Lavochkin bersama Institut Penyelidikan Angkasa Lepas Russia. Kapal itu adalah yang pertama dilancarkan ke Phobos selepas kegagalan projek penghantaran kapal angkasa ke Marikh pada tahun 1996 yang dikenali sebagai Mars 96.

    Kegagalan kali ini dianggap memalukan Russia dan popovkin pada awalnya menyatakan ia mungkin akibat sabotaj pihak asing. Namun kelmarin, beliau berkata, dalam satu ucapan bahawa siasatan menunjukkan punca mungkin adalah ‘pengaruh partikel angkasa lepas yang dicemari radiasi.’ – Agensi.

    -Rahayati Binti Ali-


    0 comments:

    Followers

     

    Meet The Author

    Soon

    Visitor